RISDA RAIKAN PELAJAR CEMERLANG SPM 2023
Kuala Lumpur, 17 Julai 2024.
Satu majlis penghargaan buat pelajar cemerlang SPM 2023 dan ibubapa telah dianjurkan oleh RISDA.
Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang Program Tuisyen Rakyat RISDA 2023 telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Haji Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa & Wilayah (KKDW).
Majlis turut dihadiri oleh Pengerusi RISDA, YB Haji Manndzri Haji Nasib diiringi oleh Ketua Pengarah RISDA, YBrs. Tuan Zainal Azni Zulkifli.
Program Tuisyen Rakyat RISDA ini memberi manfaat kepada pelajar cemerlang SPM 2023 seluruh negara yang merupakan anak pekebun kecil dengan sokongan dari guru setempat.
YAB Datok Sri Dr. Haji Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada inisiatif ini serta mahu keberkesanannya dipertingkatkan dengan pelaksanaan program berbentuk motivasi untuk tahun mendatang.
Beliau turut menekankan kepentingan pendidikan alternatif seperti TVET sebagai cara untuk membasmi kemiskinan yang merupakan aset mobiliti sosial dalam pembangunan berterusan negara.
YB Manndzri merakamkan setinggi penghargaan kepada KKDW atas sokongan kepada RISDA bagi menjayakan program ini. Beliau turut memaklumkan bahawa program ini dijenamakan semula dan merupakan kerjasama antara RISDA ibu pejabat dan RISDA negeri.
Terdahulu, majlis turut diisi dengan taklimat pendidikan oleh Universiti Kolej Agrosains Malaysia (UCAM) dan MARA kepada pelajar dan ibubapa yang hadir.