logo-holdings-300x275

Penubuhan RISDA Holdings Sdn. Bhd. (RHSB) adalah selaras dengan Pekeliling Perbendaharaan Bil 12/1993 di bawah tajuk Arahan-Arahan Bagi Meningkatkan Kualiti Perancangan dan Kawalan ke atas Pengurusan Syarikat-Syarikat Kerajaan yang menyatakan sepertimana berikut:
Setiap Badan Berkanun yang mempunyai banyak syarikat subsidiari dan bersekutu perlu menubuhkan sebuah syarikat induk yang akan memegang kepentingannya dalam semua syarikat tersebut. Tindakan ini akan memudahkan kawalan ke atas semua syarikat subsidiari dan bersekutu oleh setiap Badan Berkanun itu.”

Cadangan pelaksanaan program penstrukturan semula Syarikat Milikan RISDA melalui penubuhan RHSB adalah diasaskan kepada kajian konsultan Tetuan Pricewaterhouse Coopers (PwC) di mana laporan kajian telah dibentangkan pada Mesyuarat Pihak Berkuasa RISDA kali ke 205 pada 12 November 2009.

Mesyuarat Pihak Berkuasa RISDA kali ke 207 pada 25 Februari 2010 telah meluluskan Pelaksanaan Penstrukturan Semula Syarikat-Syarikat Milikan RISDA Melalui Penubuhan Sebuah Syarikat Induk Atau Syarikat Holdings.

Kelulusan penubuhan RHSB juga telah mendapat kelulusan daripada YB Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dan juga YB Menteri Kewangan pada Mac 2011.

Modus operandi penstrukturan melibatkan perkara-perkara berikut:

  1. Penjajaran Semula Pegangan Saham (Realignment of Shareholdings)
  2. Penyusunan Untuk Pertumbuhan dan Pengembangan Masa Depan (Positioning for Future Growth and Expansion)
  3. Memperkemas Operasi Setiap Syarikat (Streamlining the Operations of Subsidiaries)
  4. Merasionalisasikan Perniagaan (Rationalisation of Businesses)
  5. Mewujudkan Fungsi-Fungsi Secara Berpusat (Setting Up Centralised Functions)

RHSB kemudiannya ditubuhkan sebagai syarikat induk kepada semua SMR bagi melaksanakan perkara-perkara di atas iaitu melaksanakan fungsi korporat secara berpusat seperti perancangan korporat, kewangan dan perakaunan, pengurusan sumber manusia, pentadbiran dan teknologi maklumat.

Mesyuarat Pihak Berkuasa RISDA kali ke 258 pada 16 Mei 2019 telah bersetuju supaya cadangan Pelaksanaan Operasi RHSB Sebagai Syarikat Induk yang Akan Memegang Kepentingan Dalam Semua Syarikat Subsidiari (SMR) di gerakkan.

Kelulusan terkini, Mesyuarat Pihak Berkuasa RISDA kali ke 286 pada 25 Februari 2021 telah meluluskan cadangan Pemindahan Ekuiti RISDA di dalam Syarikat Milikan RISDA (SMR) kepada RISDA Holdings Sdn Bhd (RHSB).

PENUBUHAN

ADALAH UNTUK MENJALANKAN AKTIVITI PERANCANG BERPERANAN SEPERTI BERIKUT:-

Penjajaran Pemegang Saham Syarikat Milikan RISDA.

Menyelaras syarikat untuk berkembang maju serta berdaya saing.

Penjajaran operasi syarikat-syarikat subsidiari.

Rancangan Pengurusan Rasionalisasi Perniagaan Subsidiari.

Pemusatan fungsi.